PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan negara mengesahkan tempat ke perlawanan akhir setelah membenam Thailand dengan putusan 5-3 sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Dinosaur Hall, Chroy Changvar menyaksikan Malaysia dikejutkan dengan jaringan awal Thailand pada minit ke lapan menerusi Anuson Suyaram.
Bagaimanapun Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi Faridzul Afiq Mohd pada suku kedua, sebelum Muhamad Izham Azhar dan Razali Mohd Hazemi meletakkan skuad negara semakin selesa mendahului dengan keputusan 3-1.
Malaysia terus menambah derita Thailand pada minit ke 26 menerusi pukulan sudut yang disempurnakan Firdaus Omar.
Thailand tidak mengalah apabila Nukoon Warawut cuba merapatkan jurang dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh satu minit bagi menjadikan keputusan 4-3.
Faridzul Afiq Mohd memastikan Malaysia menutup perlawanan dengan keputusan lebih selesa apabila meledak pada minit ke 38 menerusi pukulan sudut penalti, sekaligus menjadikan keputusan penuh 5-3.
Keputusan ini sudah menjamin tempat Malaysia dalam perlawanan akhir dengan mengumpul keseluruhan 12 mata selepas empat perlawanan, tanpa mengira keputusan menentang Indonesia dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan pada Sabtu.
“Keseluruhan perlawanan hari ini pemain menunjukan prestasi lebih bagus berbanding perlawanan semalam. Setiap peluang disempurnakan dengan begitu baik sekali serta corak permainan hari ini lebih kemas.
“Pada perlawanan akhir peringkat kumpulan, persiapan perlawanan kita akan tetap memberikan perhatian yang lebih supaya persedian menentang dengan Indonesia akan memberi impak yg positif di final nanti. Ini kerana di final kita akan berjumpa Indonesia sekali lagi.
“Apa yang paling penting pada perlawanan terakhir ini kita cuba elakan daripada berlakunya sebarang kecederaan yang tidak diingini,” jelas ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim.
Skrip sama juga turut dilakar oleh skuad wanita negara apabila membelasah tuan rumah, Kemboja dengan keputusan 4-0.
Skuad wanita ketika ini berkongsi pungutan 10 mata dalam peringkat kumpulan bersama Thailand, namun perbezaan jaringan meletakkan skuad kendalian Mohd Badrul Hisham Osman di atas negara itu.
Malaysia hanya memerlukan seri menentang Indonesia pada Sabtu untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.