PHNOM PENH: Penantian skuad renang negara untuk menuai pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 akhirnya terlerai apabila atlet meningkat naik, Khiew Hoe Yan menepati ramalan untuk menungguli acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, hari ini.
Aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Morodok Techo, Phnom Peng sebentar tadi menyaksikan Hoe Yan berjaya merakamkan masa 1 minit 48.91 saat (s) untuk menyumbang emas ke 14 buat kontinjen Malaysia.
Pingat perak milik atlet Thailand, Dulyawat Kaewsriyong yang mencatat masa 1 minit 49.29, manakala gangsa milik Nguyen Huy Hoang dari Vietnam.
“Rasa seronok apabila akhirnya dapat memenangi emas. Sebenarnya catatan masa saya tidak begitu baik, tetapi ini merupakan hari pertama saya beraksi untuk acara kegemaran saya. Apa pun kejayaan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk acara lain selepas ini,” jelas atlet berusia 21 tahun ini.
Dalam saingan wanita membabitkan acara 100 m kuak dada pula menyaksikan Phee Jinq En meraih pingat perak setelah memberikan tentangan sengit kepada perenang Singapura, Letitia En Yi Sim.
Jin En melakukan catatan 1 minit 9.60 s, sementara Letitia pula meraih emas dengan 1 minit 7.940 saat.
Gangsa turut menjadi milik Singapura menerusi Christie May.