KUALA LUMPUR: Biarpun kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja tidak berjaya mencapai sasaran diletakkan, namun ada ‘sinar’ yang boleh dilihat daripada sudut penyertaan 63 peratus atlet muda negara dalam temasya kali ini
Sebanyak 427 daripada 674 atlet yang dibawa ke Phnom Penh kali ini adalah terdiri daripada atlet pelapis muda dan hasilnya, mereka mampu membutirkan 18 pingat emas, 27 perak dan 66 gangsa.
Ia, sekali gus menunjukkan penyertaan atlet muda pada kali ini amat memberangsangkan bagi masa depan negara apatah lagi 62 peratus daripada jumlah kontinjen adalah atlet yang membuat penampilan kali pertama dengan berupaya menjelmakan 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak akan memohon maaf atas keputusan untuk menghantar atlet muda untuk edisi kali ini meskipun berdepan kritikan hebat peminat sukan tanah air atas kegagalan mencapai sasaran.
“Saya sudah katakan daripada hari pertama, orang yang komen seperti itu tidak mengikuti sidang media kita sebelum kita menghantar kontinjen lagi. Kita sudah katakan, daripada hari pertama kita tahu, kita hilang semua pingat ini kerana sukan itu tidak dipertandingkan.
“Kalau dinilai dari segi tak dapat 40 emas dan ranking negara pula, saya boleh katakan, kalau dapat 40 emas pun ranking (kedudukan pingat emas) tidak berubah. Kalau nak jawab (permohonan maaf), saya tak akan mohon maaf.
“Keputusan melaburkan (mengetengahkan barisan muda) atlet muda. Ini adalah keputusan terbaik untuk Malaysia untuk masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja di sini hari ini.
Kontinjen Malaysia gagal mencapai sasaran 40 emas ditetapkan apabila membawa pulang 34 emas selain 45 perak dan 96 gangsa sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan.
Sebagai rekod, ia adalah pencapaian terburuk Malaysia di pentas Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak 2003 di Hanoi, Vietnam.
Malah, ini adalah kali pertama kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh selepas menghuni tangga keenam di Hanoi, Vietnam tahun lalu sehingga dianggap setara dengan Myanmar, Laos, Brunei dan Timor Leste.
Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. – UTUSAN ONLINE