PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebaiknya sukan perlu dijauhkan daripada politik bagi memastikan ‘reset’ yang ingin dilakukan dalam sektor itu dapat memberikan impak yang besar.
Bagaimanapun, Hannah sedar bahawa faktor kekangan kewangan dialami persatuan sukan yang menyaksikan mereka memerlukan individu berpengaruh bagi membantu mendapatkan dana buat badan induk masing-masing.
“Cuma, untuk kita memastikan reset ini berlaku, semua persatuan sukan ini mesti mempunyai dana yang mencukupi untuk bantu mereka membangunkan sukan masing-masing.
“Sebab itu, selalu bila mereka nak cari dana, mereka akan mencari tokoh-tokoh yang mempunyai banyak pengaruh untuk bantu carikan dana.
“Jadi, apabila kita bercakap mengenai reset ini, model dari segi kewangan sehingga mencungkil bakat itu semua kena dilihat semula,” katanya ketika ditanya mengenai penglibatan orang politik bersama persatuan sukan kebangsaan dalam usaha memastikan ‘reset’ sukan negara dapat memberikan impak seperti mana yang diharapkan.
Terdahulu, Hannah semalam merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa.
‘Reset’ sukan negara mula diperkatakan susulan pencapaian terburuk dialami kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan apabila sekadar membawa pulang 34 emas dan menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan.
Mengulas lanjut, Hannah berkata bagi memulakan ‘reset’ sukan negara, pihaknya akan menjalinkan kerjasama rentas kementerian bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Katanya, kerjasama dengan dua kementerian itu sangat penting kerana bakat-bakat muda hadir daripada institusi sekolah dan pengajian tinggi.
“Untuk kita pastikan kita dapat platform paling besar bagi mendapatkan bakat-bakat baharu ini, kita tidak boleh bergantung kepada MSN (Majlis Sukan Negara), Putrajaya (kerajaan) atau di peringkat kebangsaan saja.
“Kita perlu pergiatkan lagi, sebab itu saya percaya dengan adanya geran padanan yang diberikan Kementerian Kewangan sebanyak RM40 juta tahun ini, kita boleh adakan lebih banyak kejohanan seperti hari ini yang mana anak-anak kecil boleh datang bersama dan melahirkan minat baharu dalam sukan.
“Persatuan sukan juga boleh tengok bakat-bakat baharu ini yang mungkin tiada peluang sebelum ini untuk menonjolkan diri mereka,” katanya.-UTUSAN