PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli tidak gembira dengan prestasi semasanya pada European Talent Cup 2023 yang kini sudahpun memasuki pusingan kedua.
Anak muda berusia 16 tahun itu berjaya mencatat keputusan podium pada pusingan pertama di Litar Estoril, Portugal, dua minggu lalu.
Namun, dalam pusingan kedua di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, kelmarin, Hakim Danish sekadar melengkapkan aksinya di kedudukan ke-11 dalam perlumbaan 1 dan ke-13 pada perlumbaan 2.
Hakim Danish berkata, pada perlumbaan 1, dia beraksi dengan agak baik walaupun dikenakan penalti apabila terpaksa bermula di petak ke-27.
“Saya berjaya memecut laju jentera dari petak ke-27 naik ke tempat ketujuh, tetapi, malangnya saya ada bergesel dengan pelumba lain sehingga saya hilang kedudukan saya itu.
“Ekoran insiden tersebut saya terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-11,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh ZK Racing di sini, semalam.
Mengulas pula mengenai perlumbaan 2, anak kelahiran Terengganu itu memberitahu, dia gagal bermula dengan baik sehingga wujud jurang dengan pelumba yang berada di kelompok hadapan.
“Jurang tersebut menyebabkan saya sukar untuk mengejar dan akhirnya saya habiskan perlumbaan di tangga ke-13.
“Saya tidak berapa gembira dengan keputusan ini, tetapi, saya tidak akan berputus asa untuk terus perbaiki diri dan kembali dengan prestasi lebih mantap dalam perlumbaan berikut,” ujarnya.
Hakim Danish yang merupakan juara Asia Talent Cup pada tahun lalu itu menghuni kedudukan kesembilan setelah mengumpul 24 mata dalam senarai keseluruhan pelumba pada European Talent Cup.-UTUSAN ONLINE