JAKARTA: Skuad bola sepak Indonesia yang memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan membenam Filipina 3-0, Sabtu lalu menerima manfaat daripada fasiliti latihan ‘VIP’.
Menurut media Indonesia, skuad bawah 22 tahun negara itu diberi akses penuh untuk menggunakan pusat latihan kelab Liga Perdana Kemboja, Visakha FC, The Dream Visakha Training Camp di Phnom Penh.
Visakha yang muncul naib juara 2022 kini dibimbing oleh Simon McMenemy, jurulatih kelahiran Scotland yang pernah melatih Indonesia pada 2019.
Skuad Garuda dikatakan menerima layanan istimewa kerana pengaruh McMenemy, yang juga pernah menjadi Pengarah Taktikal kelab Indonesia, Bhayangkara FC sebelum hijrah ke Kemboja melatih Visakha FC bermula 31 Desember 2022.
Tidak hanya itu, pengurus Indonesia, Sumardji juga pernah menjadi rakan sekerja McMenemy di Bhayangkara FC.
Situasi kali ini lebih menggembirakan Indonesia berbanding di temasya Hanoi tahun lalu apabila mereka diberi padang latihan yang teruk sehingga tular.
Pusat latihan Indonesia di Kemboja dianggap berkualiti, dan Sumardji menjelaskan, permukaan padang menggunakan rumput sebenar pelbagai jenis.
“Mereka menggunakan rumput Jepun dan rumput gajah, ada tiga padang kesemuanya.
“Ketua Umum PSSI (Persatuan Bola Sepak Indonesia) memberitahu Ketua Kontinjen (Lexyndo Hakim) melobi pusat latihan Visakha agar skuad pasukan kebangsaan mendapat padang latihan terbaik,” kata Sumardji yang dipetik CNNIndonesia.com.
Pasukan Indonesia dibenarkan menggunakan padang latihan tersebut sehingga tamat Sukan SEA, dan itu menjadi nilai tambah bagi skuad bimbingan Indra Sjafri untuk meraih hasil terbaik.
Indonesia yang berada dalam Kumpulan A akan bertemu Myanmar, Khamis ini. Mereka kemudian menentang Timor Leste pada Ahad ini, diikuti tuan rumah, 10 Mei. – AGENSI