PHNOM PENH: Malaysia berjaya menuai tiga pingat emas dari gelanggang silat dalam Sukan SEA 2023 semalam, dengan salah satunya hadir menerusi gadis genit dari Kota Marudu, Sabah, Norsyakirah Muksin.
Syakirah yang beraksi dalam tanding bawah 45 kilogram (kg) berjaya mematikan cabaran wakil Indonesia, Suci Wulandri dengan keputusan 36-33 dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Konvesyen Chroy Changvar, Phnom Penh.
Ia kejayaan penuh emosi buat Syakirah menghadiahkan pingat emas kepada ibu tercinta, Sarinah Abdul Sikal.
“Perjalanan karier saya dalam arena silat cukup panjang kerana pada awal remaja, saya menyertai sukan taekwondo tetapi ibu saya melarang minat saya dalam sukan tempur ini.
“Selepas itu, saya belajar silat senyap-senyap pada usia 15 tahun dan apabila saya berjaya menang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, baru ibu saya berlembut hati.
“Justeru, saya mahu dedikasikan pingat emas yang dimenangi kali ini buat ibu saya yang tercinta tambahan pula dia baru menyambut hari jadi yang ke-54 pada 5 Mei lepas,” katanya.
Kecemerlangan atlet berusia 22 tahun itu melonjakkan lagi semangat rakan sepasukan selepas Nor Farah Mazlan turut melakar kemenangan bergaya apabila menewaskan jaguh Singapura, Nadhrah Sahrin untuk kategori Tanding A 45kg-50kg.
Pesilat lelaki negara, Muhammad Izzul Irfan Marzuki turut meraih pingat emas selepas menewaskan seorang lagi wakil Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada dengan keputusan 39-33.