PETALING JAYA: Selepas empat bulan berpisah, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani akan kembali bergabung dengan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemain bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky hari ini.
“Kita dapat berita baik hari ini yang mana Goh Sze Fei dan Izzuddin sepakat untuk kembali menjadi pasangan bagi memburu impian beraksi dalam Sukan Olimpik.
“Mereka bertemu saya dan Rexy. Dalam pertemuan itu, kedua-duanya meluahkan kekesalan dan saya juga menasihati mereka agar belajar daripada kesilapan dahulu, kuatkan semangat setia kawan sebagai pasangan.
“Mereka ada potensi yang sangat tinggi dan ia menjadi sia-sia kalau biarkan mereka begitu,” katanya.
Pada hujung Januari lalu, Sze Fei dan Izzuddin yang turut terkenal dengan julukan DinFei mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing kerana tiada lagi persefahaman susulan beberapa keputusan mengecewakan dalam kejohanan yang disertai.
ABM terpaksa melakukan rombakan dengan Izzuddin bergandingan bersama Muhammad Haikal Nazri, manakala Sze Fei berpasangan dengan Choong Hon Jian.
Kata Norza, beliau percaya peluang pasangan yang pernah menjuarai Terbuka Jerman 2022 itu untuk bersaing memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 masih realistik kerana ranking mereka tidak terlalu jauh.
“Saya rasa belum terlambat sebab ranking mereka ketika ini 32, bukan beratus-ratus. Kalau mereka benar-benar fokus, berjuang maka mereka boleh capai (beraksi di Olimpik),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE