PHNOM PENH: Selepas hampir dua hari lesu tanpa sebarang kilauan pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, kontinjen negara kembali mendapat perkhabaran gembira setelah Thor Chuan Leong berjaya mengungguli acara snuker individu hari ini.
Aksi yang berlangsung di Pusat Snuker Sen Sok Aeon, Phnom Penh menyaksikan Chuan Leong berjaya menewaskan atlet Thailand, Akani Songsermsawad dengan keputusan 4-1 (74-42, 67-48, 53-72, 53-17, 63-21).
Ini merupakan pingat emas kelima peribadinya di pentas Sukan SEA sejak mula membuat penampilan ketika edisi 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Bagi anak jati Pulau Pinang berusia 35 tahun ini, kejayaan meraih pingat emas semula di pentas Sukan SEA menyemarakkan semula kariernya yang sebelum ini malap setelah mengambil keputusan untuk berkelana di United Kingdom sejurus memenangi gelaran Juara Asia pada 2014.
“Saya rasa gembira dengan pencapaian saya di kejohanan ini, sebab saya hanya beraksi satu acara sahaja kali ini, jadi memang ada tekanan yang besar untuk diri saya, tetapi saya berjaya juga untuk memenangi pingat emas.
“Kejayaan saya ini bukan mudah, sebab saya bangkit selepas nama saya tenggelam dalam tempoh empat hingga lima tahun ini sejak saya ke United Kingdom.
“Saya ke sana sebagai juara Asia, tetapi apabila di sana, saya ibarat beraksi sebagai budak kecil, jadi apabila menang pingat emas ini, saya rasa lebih baik,” jelas Chuan Leong.