PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang mudah keupayaan pemain muda Perak FC apabila bertandang ke Stadium Perak, malam ini.
Cheng Hoe yang kali pertama berkongsi padang bersama bekas rakan sepasukannya Lim Teong Kim selepas hampir 30 tahun, menyifatkan Perak bukan pasukan yang mudah dijinakkan.
“Tempoh hari kita sudah kalah kepada Sabah (2-1 di Likas). Sudah tentu lawan Perak kita mahu kembali mendapat momentum kemenangan terutama selepas berehat panjang bagi memberi laluan kepada pasukan Sukan SEA.
“Kita juga tidak dapat menjalani latihan dengan pasukan yang lengkap kerana tujuh pemain bersama skuad negara di temasya itu dan baru bersama kita kelmarin.
“Kalau kita tengok Perak kebanyakan mereka pemain muda dan nampak kesungguhan dan kerajinan. Jadi kita kena serius dan tidak boleh pandang mudah untuk mendapat gol yang banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Cheng Hoe dan Teong Kim merupakan rakan sepasukan ketika menyarung jersi Kedah pada era 1993-1994.
Ketika ditanya mengenai keadaan pemain-pemain yang mengalami kecederaan, Cheng Hoe mengesahkan bahawa kesihatan kapten Selangor, Brendan Gan terjejas.
“Macam Brendan kesihatan beliau kurang baik dan dia juga tidak dapat menjalani latihan bersama pasukan, malah kita juga ada beberapa pemain yang masih mengalami kecederaan,”jelasnya.
Selepas 10 perlawanan, Selangor kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan 22 mata, lapan mata di belakang Johor Darul Ta’zim. Perak di tangga ke-11 apabila mengutip sembilan mata.