PHNOM PENH: Malaysia sepakat memilih tema batik sebagai busana rasmi ketika perarakan masuk kontinjen pada upacara pembukaan Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Techno Morodok malam ini.
Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Mohd. Nasir Ali menjelaskan, pemilihan batik bertujuan untuk mengetengahkan identiti Malaysia kepada negara serantau.
Meskipun rekaan busana kali ini tidak mendapat sentuhan pereka terkenal, namun Nasir memberi bayangan kontinjen Malaysia tetap akan tampil segak dan bergaya.
Tambahnya rekaan kali ini juga mengambil kira faktor cuaca tempatan yang amat panas ketika ini, jadi keselesaan setiap atlet dan pegawai.
“Pakaian ini kita sudah sediakan dan kita sudah kaji dari segi beberapa aspek terutama cuaca panas serta dari segi apakah ciri-ciri yang kita nak tunjukkan.
“Jadi kita buat keputusan untuk pakai batik lengan panjang. Ia akan bertemakan warna bendera kita dan juga ada ciri-ciri batik Malaysia. Saya berasa yang penting selesa, nampak elegan dan ceria,” katanya.
Atlet karate negara, R. Sharmendran diberi penghormatan untuk menggalas tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang.