PETALING JAYA: Perjalanan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk layak ke Sukan Olimpik masih jauh, namun dengan peningkatan ditunjukkan, selain beberapa kejutan pada Kejohanan Badminton Asia di Dubai peluang meraih pingat, termasuk emas pada temasya Paris 2024 bukan mustahil.
Kelmarin, pasangan profesional negara itu terlepas peluang memenangi kejuaraan terbesar dalam karier mereka apabila kalah 21-16, 17-21, 19-21 kepada beregu No. 6 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam final beregu lelaki.
Dengan kekalahan itu, gelaran terbesar yang pernah diraih Ee Yi-Yew Sin adalah muncul juara Thailand Masters 2020.
Begitupun, kejayaan menumpaskan pasangan No. 1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto di suku akhir, selain juara dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun pada separuh akhir membuktikan mereka selayaknya berada dalam projek Road to Gold (RTG).
“Dalam beregu lelaki, semua pasangan kelompok 20 terbaik dunia mempunyai standard sama, jadi sesiapa sahaja boleh menang (pingat emas Olimpik).
“Begitupun sasaran Ee Yi-Yew Sin tetap sama, melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris. Tempoh setahun dari sekarang sangat penting dan lebih penting mereka kena kekal konsisten.
“Untuk layak, kami kena bertanding dalam pelbagai kejohanan, jadi kekuatan mental dan fizikal harus diberi penekanan,” kata jurulatih beregu No. 8 dunia itu, Rosman Razak kepada Utusan Malaysia.
Ee Yi-Yew Sin gagal menghadiahkan kejuaraan beregu lelaki Asia pertama buat negara sejak Choong Tan Fook-Lee Wan Wah memenanginya di Johor Bahru pada 2007.