PETALING JAYA: Kegagalan beberapa nama besar dalam skuad bawah 22 (B-22) tahun negara membimbing rakan sepasukan antara faktor pasukan kendalian E.Elavarasan ‘bungkus awal’ dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Perwatakan mereka sebagai pemain yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super tidak diterjemahkan di atas padang sekali gus menyebabkan pemain lain juga ‘hanyut’ dengan mentaliti takutkan lawan dan tiada semangat untuk menang.
Faktor lain seperti cuaca, keadaan padang dan pengadil yang tidak memihak skuad kebangsaan sepatutnya tidak menjadi alasan jika pemain yang menggalas tanggungjawab betul-betul bersedia dan turun dengan semangat juang tinggi.
“Secara keseluruhan, saya melihat pemain negara tiada karakter terutamanya nama besar yang beraksi dalam Liga Super. Apabila masuk ke dalam skuad kebangsaan, pemain ini tidak bawa perwatakan yang diharapkan dan mengecewakan.
“Semuanya nampak jelas dalam perlawanan menentang Thailand dan Vietnam, pemain kita seperti tiada karakter dan tiada semangat untuk menang dan mereka juga tidak bermain sebagai satu pasukan seperti yang diharapkan barisan kejurulatihan.
“Pemain ada pengalaman di Liga Super sepatutnya bimbing rakan-rakan dan bukannya menampakkan reaksi biasa-biasa sahaja dan sekiranya pemain itu diberikan tanggungjawab sebagai kapten, arahan sepatutnya biar jelas dan bukannya menggunakan memek muka.
“Saya tidak suka untuk sebut nama pemain-pemain tertentu untuk dipersalahkan dan ramai di media sosial cakap pengadil tidak menyebelahi kita. Bagi saya, kalau pasukan kita lebih bersedia itu tidak akan menjadi masalah.
“Pasukan kali ini sebenarnya ada kekuatan dan diyakini mampu melangkah lebih jauh, namun apabila mentaliti dan karakter pemain tiada, segala harapan musnah,” kata bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah kepada Utusan Malaysia.
Skuad kendalian Elavarasan tersingkir daripada Sukan SEA Kemboja selepas tewas 1-2 kepada Vietnam kelmarin dan 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan kedua biarpun cemerlang membenam Laos 5-1 dalam perlawanan pertama.