PETALING JAYA: Keputusan jaguh badminton negara, Lee Zii Jia mahu mencari jurulatih dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris tindakan tepat dan belum terlambat.
Bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim berkata, beliau gembira jaguh perseorangan profesional negara itu akhirnya mempunyai kesedaran kerana prestasinya ketika ini semakin membimbangkan.
Selasa lalu, Zii Jia mengalami kejatuhan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila jatuh empat anak tangga ke kedudukan kelapan.
Kata Roslin, meskipun pemain berusia 25 tahun itu mempunyai rakan sepelatih (sparring), Liew Daren, namun kualiti latihan yang disediakan jurulatih berpengalaman sangat berbeza dengan yang diperoleh bersama rakan-rakan.
Tegasnya, keperluan memiliki jurulatih bukan hanya untuk mengekalkan ranking dunia, malah melindungi ‘senjata’ rahsia agar tidak mudah dibaca lawan setelah kerap mendominasi tangga 10 pemain terbaik dunia.
“Akhirnya dia sedar tentang keperluan memiliki jurulatih. Sebelum ini pun sudah ramai menegur, namun itu bukan kecaman. Dia perlu melihat isi nasihat yang disampaikan. Kami, bekas pemain mahu yang terbaik untuknya.
“Zii Jia sebenarnya menghadapi kekurangan ketara selepas tiada pembimbing. Bila tiada jurulatih, kualiti permainan berubah kerana pemain tidak lengkap dari segi persiapan.
“Macam sekarang, dia sparring bersama Liew Darren, namun itu tidak cukup malah berbeza dengan jurulatih sebenar yang menyediakan program latihan khas, yang bertujuan memperbaiki corak permainan.
“Kekurangan ini wujud bila Zii Jia tidak lagi garang ketika berlawan, sedangkan dulu dia terkenal dengan backhand smash,” kata bekas juara Terbuka Jepun itu kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, bekas juara Asia itu menegaskan keputusan mengambil jurulatih baharu dalam kadar segera dibuat bukan atas desakan orang ramai, namun inisiatif pasukannya sendiri, Team LZJ setelah dia bergerak solo selama hampir enam bulan.