PHNOM PENH: Pelumba berbasikal bukit (MTB) negara, Nur Assyira Zainal Abidin berjaya mengharungi cuaca panas di pergunungan Phnom Kulen, Siem Rap untuk menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.
Malaysia membariskan tiga pelumba termasuk Assyira, antaranya Phi Kun Pan dan Natahsya Soon untuk bersaing dengan 15 lagi pelumba dari enam negara yang bertanding.
Cuaca yang mencecah sehingga 40 darjah celcius memberikan kesukaran buat kesemua pelumba, namun Assyira cekal untuk menempatkan diri dalam kelompok hadapan sekaligus menamatkan perlumbaan di belakang juara dari Indonesia, Sayu Bella Sukma Dewi.
Pingat gangsa diraih peserta Thailand Yonthanan Ponkhla.
Kejayaan Assyira di Kemboja juga menyamai pencapaian di Hanoi tahun lalu apabila merangkul pingat perak.
“Alhamdulillah, Malaysia berjaya membawa pulang perak pada acara ini walaupun pada asalnya tidak meletakkan harapan tinggi.
“Kejayaan ini meniup semangat kepada wakil Malaysia lain dalam acara MTB untuk mencipta keputusan positif pada acara lain,” jelas pengurus skuad MTB negara, Mohd Saiful Abdul Jalil.-UTUSAN ONLINE