KUALA LUMPUR: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke peringkat 16 terbaik setelah menewaskan beregu muda Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan pada pusingan pertama Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.
Pasangan No. 2 dunia itu, bagaimanapun, dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Pramudya-Yeremia dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke rubber set 21-18, 10-21, 23-21.
Wooi Yik ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir mengakui dia dan Aaron terlalu mudah membuang mata dan hilang fokus ketika lawan mengubah rentak permainan.
“Kesilapan yang kami lakukan hari ini harap tidak berulang lagi dalam pusingan kedua nanti.
“Apa yang penting kami jangan terlalu mudah bagi laluan kepada lawan,” katanya.
Dalam pusingan kedua, Aaron dan Wooi Yik akan bertemu pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho pada Khamis.
Kali terakhir pasangan No. 1 negara itu bertemu Sol Gyu dan Won Ho ialah pada Kejuaraan Berpasukan Asia, tiga tahun lalu.
Sementara itu, dalam satu lagi pertemuan membabitkan beregu muda Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengejutkan beregu No. 11 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 25-23, 21-16.
Gandingan yang menghuni ranking ke-26 dunia itu bakal menentang sama ada pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall atau beregu profesional negara,Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong pada pusingan kedua, Khamis ini.
Kian Meng-Wee Kiong yang berada di ranking ke-43 dunia hanya akan turun ke gelanggang bertemu pasangan No. 29 dunia, Dunn-Hall, esok. – UTUSAN ONLINE