Zii Jia 'lapar' emas Olimpik 2024

Zii Jia ‘lapar’ emas Olimpik 2024

HANNAH Yeoh (dua, kiri) dan Stuart Ramalingam (kiri) mengadakan pertemuan dengan Lee Zii Jia (dua, kanan) serta Lee Zii Yii di ibu kota semalam. - IHSAN HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia komited untuk menghadiahkan pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik selepas namanya tersenarai dalam program Road To Gold (RTG).

Perkara itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan juara badminton Asia itu di ibu kota semalam.

Turut sama dalam pertemuan itu adalah penyelaras RTG, Stuart Ramalingam serta kakak Zii Jia, Lee Zii Yii yang juga pengurusnya.

Hannah sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertemu Zii Jia bagi mendapatkan penjelasan mengenai aksi suramnya dalam tiga kejohanan di Eropah membabitkan Terbuka Jerman, All England dan Terbuka Switzerland bulan lalu.

Hannah yang juga Pengerusi bersama RTG telah berjanji akan memberi segala keperluan yang relevan dalam usaha mempersiapkan Zii Jia serta 14 lagi atlet program RTG yang akan berjuang di Paris tahun hadapan.

“Ia pertemuan positif. Lee Zii Jia menyokong inisiatif RTG dan berterima kasih dima­sukkan dalam projek kebangsaan ini.

“Dia beritahu saya, dia benar-benar mahukan emas pertama di Paris 2024 untuk negara. Ini yang saya mahu dengar daripada atlet kita, bermula de­ngan kemahuan untuk menang emas.

“Penyelaras RTG, Stuart akan membuat perbincangan lanjut bersama pengurus Zii Jia bagi memperincikan komitmennya terhadap RTG yang akan meliputi koordinasi kejurulatihan dan rakan sepelatih,” jelas Hannah.

Sejak mula membuat pe­nampilan pertama di Sukan ­Olimpik 1956 Melbourne, Malaysia belum pernah lagi merasai nikmat menggengam pingat emas dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Percubaan paling hampir adalah memenangi pingat perak menerusi tiga sukan berbeza – badminton, berbasikal dan terjun.

Legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei muncul atlet Malaysia paling cemerlang dalam Sukan ­Olimpik dengan memenangi tiga perak bermula di Beijing 2008, London 2012, Rio 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN