Tragedi berdarah Monica Seles hantui bintang snuker

Tragedi berdarah Monica Seles hantui bintang snuker

SEORANG penunjuk perasaan mengejutkan pemain dan peminat pada pusingan pertama Kejohanan Dunia apabila melempar serbuk oren di meja snuker sambil memakai baju ‘Just Stop Oil’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHEFFIELD: Bintang snuker dunia, Mark Allen dan Mark Williams menyuarakan kebimbangan sukan itu terdedah kepada bahaya seperti ‘tragedi Monica Seles’.

Pada 30 April 1993, sukan dunia digemparkan de­ngan tragedi menimpa bintang tenis Yugoslavia, Mo­nica Seles apabila dia ditikam peminat fanatik musuh ketatnya, Steffi Graf di tepi gelanggang ketika kedua-dua pemain berentap di Hamburg, Jerman.

Kelmarin, insiden mengejutkan berlaku pada pusingan pertama Kejohanan Snuker Dunia apabila seorang peminat tiba-tiba melompat ke atas meja snuker dan merosakkan kain dengan serbuk oren.

Walaupun tiada siapa ­cedera, namun insiden itu amat mengejutkan pemain, pegawai dan penonton.

Sejak Kejohanan Dunia pertama diadakan pada 1977, penyokong snuker menikmati keistimewaan duduk dengan rapat di belakang pemain.

Begitupun Williams ber­kata, jika kawalan keselamatan tidak dipertingkatkan dan peminat dibenarkan duduk hampir dengan pemain, ia dikhuatiri akan membawa kepada insiden buruk.

“Perkara paling buruk yang boleh kita jangkakan jika ­penyokong membawa pisau bersama mereka, ia sama sekali gila,” kata juara dunia tiga kali itu.

Perlawanan Robert Milkins menentang Joe Perry di Crucible Theatre kelmarin terpaksa dihentikan ketika seorang penunjuk perasaan yang memakai baju ‘Just Stop Oil’ melompat di atas meja mereka.

Allen bernasib baik dia ­dapat menamatkan perlawanan menentang Fan Zhengyi dengan lancar selepas pe­ngadil, Olivier Marteel bertindak pantas menghalang seorang peminat wanita daripada mero­sakkan meja.

Pemain Ireland Utara itu me­negaskan, faktor keselamatan dalam sukan snuner perlu dikaji semula dan menjauhkan pemain daripada penonton adalah perkara pa­ling ideal.

“Keadaan mungkin boleh menjadi lebih teruk, terutama jika peminat membawa senjata, pisau atau apa sahaja, siapa tahu?

“Petugas keselamatan di sini melakukan kerja yang baik, jadi saya tidak akan mengkritik mereka.

“Sukar untuk mereka me­ngawal lebih 900 orang da­lam satu masa, jadi sistem keselamatan itu yang sepatutnya dipertingkatkan oleh penganjur,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya