KUALA NERUS: Kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kelantan FC dalam aksi derbi Pantai Timur malam tadi disifatkan sebagai persembahan terbaik Terengganu FC (TFC) dalam Liga Super musim ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, jentera serangan Sang Penyu juga mula menunjukkan taring sebenar apabila tiga penyerangnya mencetak gol dalam perlawanan itu.
Menurut jurulatih berasal Croatia itu, pemainnya menjalankan tugas dengan baik termasuk pemain gantian yang memperkemaskan permainan TFC pada babak kedua.
“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini pun kami sudah bermain baik cuma dikecewakan ketumpulan penyudah sehingga terpaksa pulang tangan kosong.
“Jadi keputusan 5-0 dan tiga mata diraih malam ini (semalam) ialah persembahan terbaik TFC dan saya berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemain-pemain.
“Percaturan memasukkan Hakimi Abdullah, Mohd. Faiz Nasir serta Domagoj Pusic juga menjadi apabila kami berjaya menguasai bahagian tengah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Pada perlawanan itu, kemenangan TFC dibantu jaringan Jordan Mintah (m-16), Adisak Kraisorn (m-21), Ivan Mamut (m-62 dan m-90) serta gol Hakimi dalam masa kecederaan.
Kemenangan tersebut membolehkan Sanyu naik ke kedudukan keenam Liga Super berkongsi 10 mata dengan Sri Pahang yang berkelebihan satu perlawanan. – UTUSAN ONLINE