Tiga perlawanan 'blockbuster' tentukan nasib Reds

Tiga perlawanan ‘blockbuster’ tentukan nasib Reds

PEMAIN Liverpool melakukan persiapan akhir di Pusat Latihan AXA, Liverpool semalam dalam persiapan menghadapi Manchester City di Etihad hari ini. – IHSAN LIVERPOOL FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Trent Alexander-Arnold berkata, Liverpool perlu mencatat ‘keputusan besar’ dalam tiga perlawanan blockbuster yang bakal dihadapi bagi menentukan nasib mereka untuk memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Reds bakal bertandang ke Manchester City hari ini, sebelum berdepan Chelsea di Stamford Bridge pada Rabu, diikuti menentang pendahulu liga, Arsenal di Anfield, Ahad depan.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp mengharungi kempen sukar dan sudah tersingkir dalam semua perebutan kejuaraan, selain menduduki tangga keenam liga, tujuh mata di belakang pasukan tempat keempat, Tottenham.

Menyedari mereka tidak boleh keciciran mata untuk menghidupkan pemburuan tiket Liga Juara-Juara, ­Alexander-Arnold berharap Reds mampu pulang bersama kemenangan di Etihad biarpun ia tugas yang cukup getir.

“Kami perlu mendapat tiga keputusan besar dalam perlawanan seterusnya, dan jika itu boleh dilakukan, musim ini akan menjadi lebih baik.

“Pertemuan menentang City, Chelsea dan Arsenal boleh menentukan musim kami.

“Rancangan kami adalah turun dan cuba memenangi ketiga-tiga perlawanan,” kata pertahanan kanan Liverpool itu.

Sementara itu, bek kiri Reds, Andrew Robertson memberi amaran kepada rakan sepasukan bahawa mereka tidak boleh lagi melakukan kesilapan jika ingin memenuhi jangkaan minimum meraih kedudukan empat terbaik.

Musim lalu, Liverpool berjaya merangkul Piala FA dan Piala Liga, selain mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan menutup kempen Liga Perdana selaku naib juara dengan satu mata di belakang City.

“Jelas sekali minggu ini amat besar buat kami, kami menentang tiga gergasi dan ini adalah tempoh yang getir.

“Namun inilah yang dinantikan setiap pemain apabila menyertai kelab ini. Kami mahukan perlawanan besar.

“Kami tak mahu berada dalam kedudukan ini dan kami tak ada masa untuk disia-siakan. Kami tidak boleh lakukan kesilapan jika mahu capat empat teratas,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya