KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) kembali ke landasan kemenangan setelah mengalahkan kelab tercorot Liga Super, Kelantan United, 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.
Kemenangan itu bukan sahaja membantu TFC melonjak ke tangga keenam malah meredakan tekanan jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang diberi surat tunjuk sebab, dua minggu lalu.
Beraksi selaku tuan rumah, TFC hanya memerlukan enam minit untuk mendahului menerusi tolakan mudah Liridon Krasniqi berpunca hantaran pemain pertahanan, Azam Azmi Murad.
Ketinggalan satu gol, Kelantan United memperkemaskan rentak dan hampir mengikat kedudukan namun percubaan S. Sharvin seminit kemudian ditepis penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.
Kubu tuan rumah terus diuji memasuki minit ke-14 hasil sepakan sudut Mohd. Syazwan Zainon mujur tandukan Victor Silva Paixao sekadar mengegar jaring tepi.
TFC mengambil kesempatan keghairahan Kelantan United setelah Jordan Mintah menanduk kemas umpanan Syafik Ismail pada minit ke-28 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu semakin garang malangnya rembatan Mintah pada minit ke-56 menggegar palang sebelum percubaan tepatnya minit ke-64 diselamatkan penjaga gol.
Penyerang gantian Kelantan United, Jose Porteria (m-76) mengejutkan tuan rumah hasil jaringan jarak jauh menewaskan Mohd. Suhaimi namun sudah terlewat untuk menghalang kemenangan TFC. – UTUSAN