Terengganu jadi pilihan IJN Ride 4 Your Heart

Terengganu jadi pilihan IJN Ride 4 Your Heart

Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan/Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas lima tahun menyepi, IJN Ride 4 Your Heart kembali dianjurkan, malah menawarkan peminat sukan berbasikal dengan cabaran lebih menarik.

Lebih menarik, jika dua edisi sebelum ini iaitu pada 2016 serta 2017 yang berlangsung di Lembah Klang iaitu di Universiti Nottingham, Semenyih namun kali ini edisi ketiga saingan berbasikal itu, dianjurkan di Kuala Terengganu pada 27 Mei ini.

Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan/Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata, Terengganu menjadi pilihan kerana pihaknya kerana mahu memberi pengalaman bermakna kepada setiap peserta.

“Selain ada usaha sama dengan UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin), kami mendapat maklum balas yang sangat positif apabila mahu menganjurkan acara berbasikal ini di Terengganu.

“Lagi pun IJN mempunyai reputasi yang besar dan IJN Ride juga sudah mempunyai jenamanya sendiri. Jadi apabila kami mengiklankan bahawa edisi kali ini akan berlangsung di Terengganu, sambutan diterima sangat bagus.

“Kami mensasarkan kira-kira 1,500 peserta akan menyertai kayuhan kali ini membabitkan tiga kategori iaitu 30 kilometer (km) Fun Ride serta 88km dan 120km di mana kedua-dua kategori itu formatnya adalah perlumbaan,” katanya.

Jeffrey berkata, selain berfungsi sebagai institusi dan hospital yang menawarkan servis kepada pesakit jantung dan paru-paru, IJN juga menekankan mengenai cara pencegahan penyakit dan untuk itu, aktiviti berbasikal adalah salah satu gaya hidup sihat.

“Sebenarnya selain berbasikal, IJN juga pernah menganjurkan acara sukan lain seperti larian. Tapi minat kepada sukan berbasikal agak ramai dan atas sebab itulah kami menganjurkan acara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai laluan yang bakal diharungi oleh setiap peserta, Jeffrey berkata, Terengganu menawarkan laluan sangat menarik dan agak mencabar.

“Rata-rata laluan adalah landai dan di tepi persisir pantai. Antara cabarannya adalah angin laut agak kuat.

“Salah satu sebab kami memilih lokasi di Terengganu kerana tidak ramai yang berpeluang untuk berkayuh di sana. Terengganu sentiasa melahirkan atlet berbasikal profesional. Jadi sekarang ini mereka yang bukan profesional juga berpeluang merasai pengalaman berkayuh di Terengganu,” jelasnya.

Bagi mempromosikan gaya hidup sihat, IJN Ride terbuka kepada semua peringkat umur bermula daripada kanak-kanak sehingga veteran mengikut kesesuaian kategori yang ditawarkan.

“Sasaran utama adalah golongan dewasa yang ada pengalaman berkayuh. Tapi kami juga tahu ada orang yang kurang berpengalaman. Sebab itulah kami tawarkan kategori 30km Fun Ride,” katanya.

Yuran penyertaan untuk IJN Ride bermula RM50 sehingga RM150 mengikut kategori yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman weh www.gosportz.my dengan tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 April. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya