PETALING JAYA: Reaksi Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim sejurus selepas pasukannya dibelasah 0-5 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super malam tadi mencuri tumpuan peminat bola sepak.
Teong Kim enggan menjawab beberapa soalan yang diajukan wartawan di tepi padang.
Malah, ketika dia memilih untuk menjawab, jawapan yang diberikan sangat sarkastik sehingga menimbulkan tanda tanya apakah dia hilang kata-kata dengan prestasi Bos Gaurus atau ‘koyak’ kerana pasukannya mengalami kekalahan hatrik.
Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut yang dicatat Perak selepas tumpas 3-1 kepada Penang FC dan 0-3 di tangan Sri Pahang.
Perak hanya mencatat satu kemenangan daripada tujuh perlawanan musim ini. Selebihnya mereka kalah empat kali dan seri dua kali.
🤔#DemiLigaKita pic.twitter.com/v78Ygj8i7T
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 4, 2023
Teong Kim membuat isyarat seolah-olah tidak mendengar soalan ketika wartawan Astro Arena bertanya tentang persembahan pasukannya sambil matanya meliar memandang ke arah lain.
Wartawan itu kemudian mengajukan soalan kedua: “Satu lagi perlawanan yang tidak berpihak kepada pasukan Perak, bagaimana Coach menyimpulkan keseluruhan perlawanan malam ini?”
“Saya sudah kata bukan, bahawa JDT pasukan yang kuat,” jawab Teong Kim sambil mengangkat bahu.
Selepas terdiam beberapa saat, wartawan itu bertanya lagi: “Okey Coach, jadi kini selepas tujuh perlawanan liga pertama, apakah kekurangan yang kamu lihat ada pada pasukan Perak ketika ini?”
Teong Kim dengan wajah agak tegang membalas: “Kekurangan? You nampak game bukan, you fikir sendirilah apa kekurangan kami. Bukan you tak lihat game. Siapa yang lihat dia tahulah.” – UTUSAN ONLINE