KUANTAN: “Kelalaian pada dua minit terakhir sangat menghampakan kerana berdasarkan prestasi pasukan terutama pada babak kedua, kita seharusnya mendapat tiga mata,” kata pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad.
Beliau mengulas mengenai kegagalan skuad Tok Gajah meraih tiga mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Makmur,kelmarin.
Legenda bola sepak Singapura itu tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dengan kealpaan di penghujung perlawanan membuat pasukannya berputih mata meraih tiga mata berharga.
“Memang hampa juga dengan keputusan ini walaupun Sri Pahang lebih banyak menguasai perlawanan terutama di babak kedua tetapi sering gagal kerana hantaran kurang baik kepada penyerang… buat pening kepala keputusan asyik seri,” katanya.
Pada perlawanan itu, Fandi juga tidak mahu menyalahkan Lucas Silva apabila penyerang importnya itu gagal menyempurnakan sepakan penalti dan menerima hakikat skuad itu sekadar mengutip satu mata di halaman sendiri.
“Biasa sepakan penalti diambil oleh Stefano Brundo tetapi mungkin Lucas agak ghairah kerana pertama kali beraksi berikutan kecederaan yang membelenggunya,”jelasnya.
Pemain pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-62 sebelum pemain gantian, Jonathan Reis memastikan Kedah membawa pulang satu mata di tempat lawan selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan.
Sementara itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain menarik nafas lega selepas skuadnya bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan untuk membawa pulang satu mata.
“Alhamdulillah, tahniah kepada pemain saya kerana berusaha sehingga minit terakhir perlawanan kerana berusaha untuk menjaringkan gol penyamaan yang amat penting.
“Kita tahu bermain di Stadium Darul Makmur bukannya senang dan kedudukan Sri Pahang yang mantap pada musim ini.
“Namun, saya gembira dan berpuas hati prestasi yang dipersembahkan pemain yang berjaya bangkit selepas mereka melakukan kesilapan dan kelekaan,” katanya.-UTUSAN