SEVILLA: Manchester United ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Europa selepas tunduk kepada Sevilla dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan sebentar tadi.
United yang membawa bekalan dua gol selepas diikat Sevilla 2-2 ketika aksi suku akhir pertama di Old Trafford 14 April lalu beraksi hambar apabila ketinggalan seawal minit kelapan apabila Youssef En-Nesyri memanfaatkan kesilapan dilakukan pertahanan United, Harry Maguire untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Sevilla semakin selesa apabila pemain pertahanan, Loic Bade menggandakan jaringan buat Sevilla menerusi tandukan hanya selepas dua minit perlawanan kembali bersambung di separuh masa kedua.
Malang terus menimpa United apabila giliran penjaga gol, David de Gea melakukan kesilapan pada minit akhir perlawanan sehingga membuka ruang buat En-Nesyri untuk menambah gol ketiga Sevilla sekaligus membawa pasukan Sepanyol itu mara ke peringkat separuh akhir Liga Europa dengan keputusan aggregat 5-2.
Sevilla bakal membuat perhitungan dengan Juventus di peringkat separuh akhir setelah kelab Itali itu turut mengesahkan kemaraan dengan menumpas pasukan Sporting Lisbon dengan keputusan aggregat 2-1.
Turut sama menempah tempat di separuh akhir Liga Europa adalah pasukan AS Roma yang menumpaskan Feyenoord dengan keputusan aggregat 4-2, sementara Bayern Leverkusen tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan Union Saint-Gilloise dari Belgium dengan keputusan aggregat 5-2.