PETALING JAYA: Selangor FC menambah derita Kelantan FC apabila membenam pasukan dari Pantai Timur itu 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe kembali merampas kedudukan tangga kedua Liga Super dengan 19 mata iaitu empat mata dibelakang Johor Darul Takzim (JDT) yang mengumpul 24 mata.
Dalam perlawanan itu, Kelantan bermula garang apabila hampir berada di hadapan menerusi pemain importnya, Ismahil Akinade namun, percubaannya sekadar mengegarkan tiang gol.
Sedar dengan cabaran yang diberikan Kelantan FC walaupun mereka ketika ini terpalit dengan kontroversi di luar padang, Selangor FC memperkemaskan rentak permainan untuk mengimbangi perlawanan.
Hasilnya, Selangor FC memperolehi gol pertama menerusi Ayron Del Valle pada minit ke-28 selepas beliau bijak menyempurnakan hantaran lintang menarik Brendan Gan dari sebelah kanan pintu gol.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan dan bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan bermula agak perlahan yang memaksa kedua-dua jurulatih membuat pertukaran pemain.
Percaturan Cheng Hoe yang membawa masuk Rauf Salifu untuk menggantikan Ayron di jentera serangan akhirnya membuahkan hasil apabila dia membuktikan kewibawaannya.
Pemain import dari Ghana itu meledak dua jaringan pada minit ke-80 dan 90 untuk melenyapkan sisa-sia perjuangan Kelantan FC dan memastikan Selangor mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 3-0.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC kekal di tangga kedua tercorot Liga Super dengan empat mata dan dalam perlawanan seterusnya selepas ini, Selangor akan melayan kunjungan Terengganu FC di MBPJ manakala, Kelantan akan menentang Sabah FC.- UTUSAN ONLINE