PETALING JAYA: Selangor FC berpesta gol di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila membelasah Terengganu FC 5-1 untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Pesta gol skuad kendalian Tan Cheng Hoe bermula pada minit ke-17 apabila penyerang import mereka, Ayron Del Valle berjaya menyudahkan umpanan menarik daripada kapten, Brendan Gan.
Gol berkenaan ternyata membangkitkan semangat skuad Gergasi Merah untuk terus memburu jaringan dan hasilnya Faisal Abdul Halim berjaya menggandakan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-21.
Terengganu FC seolah-olah tiada jawapan terhadap asakan bertalu arus Selangor FC selepas Muhammad Rahadiazli Rahalim tewas buat kali ketiga pada minit ke-40 menerusi jaringan Harith Haiqal Adam Afkar.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Muhammad Usaid Jamal.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC mempamerkan sedikit peningkatan dan hasilnya mereka berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-1 menerusi tandukan Ivan Mamut.
Bagaimanapun, selang 10 minit kemudian Ayron sekali lagi mempamerkan watak pemusnah apabila menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan berkenaan untuk memastikan Selangor FC mendahului selesa 4-1.
Tidak cukup dengan itu, Alif Haikal yang dibawa masuk bagi mengantikan ketua pasukan membuktikan pemilihannya tepat apabila berjaya meledak gol kelima Selangor FC pada minit ke-85.
Kemenangan 5-1 itu mengukuhkan kedudukan Selangor FC ditangga kedua Liga Super dengan 22 mata.-UTUSAN ONLINE