Selangor benam Sri Pahang 4-0 untuk ke suku akhir Piala FA

Selangor benam Sri Pahang 4-0 untuk ke suku akhir Piala FA

PEMAIN Selangor FC meraikan gol jaringan Mukhairi Ajmal dalam pertembungan dengan Sri Pahang FC di Stadium MBPJ sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC membuktikan mereka lebih layak untuk melangkah ke suku akhir Piala FA apabila menumbangkan Sri Pahang FC 4-0 di pusingan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Dua gol jaringan Mukhairi Ajmal dan masing-masing satu gol daripada Faisal Abdul Halim dan Brendan Gan berjaya mengecewakan skuad kendalian Fandi Ahmad yang turun ke MBPJ dalam misi mengejutkan raja Lembah Klang itu.

Pada awal permainan, anak-anak buah Tan Cheng Hoe dilihat lebih banyak melakukan asakan namun, gerakan jentera serangan mereka berjaya digagalkan barisan pertahanan skuad Tok Gajah yang diketuai Michael John Glassock.

Gol pertama skuad Gergasi Merah hadir pada minit ke-41 selepas penjaga gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi melakukan kesilapan mudah apabila gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh daripada luar kotak penalti yang dilakukan Mukhairi.

Kedudukan 1-0 kekal kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkilfi.

Bersambung babak kedua, Selangor FC tidak menunggu lama untuk melakukan asakan dan mereka hampir menggandakan kedudukan menerusi Faisal Abdul Halim namun, percubaan pemain sayap Harimau Malaya itu sekadar menggegarkan tiang gol.

Gol kedua Selangor FC akhirnya menjelma pada minit ke-58 sekali menerusi Mukhairi apabila dia menyudahkan gerakan satu dua bersama Quentin Cheng sekali gus melakar dua jaringan peribadi dalam perlawanan itu.

Asakan bertali arus Selangor FC berhasil buat kali ketiga pada minit ke-62 apabila Faisal bijak menggunakan peluang terhidang di depan pintu gawang selepas pertahanan Sri Pahang FC gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Selang 10 minit, Brendan Gan melebarkan kedudukan menjadi 4-0 buat Selangor FC selepas dia melakukan rembatan menarik daripada luar kotak penalti untuk menumpaskan Izham buat kali keempat dalam perlawanan tersebut.

Keputusan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus menyaksikan Selangor FC menempah pertemuan dengan Negeri Sembilan FC yang berjaya menumpaskan pasukan Liga M3, PIB FC 2-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya