LOR SETAR: Masih dibayangi kekalahan kepada Penang FC dalam Piala FA bulan lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak mahu nasib malang berulang apabila menerima kunjungan Harimau Kumbang sekali lagi pada aksi Liga Super malam ini.
Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak mengulangi kesilapan lalu kerana jiran mereka dibarisi ramai pemain yang amat berpengalaman.
Kemenangan penting bagi meneruskan momentum pasukan yang berada di kedudukan kedua liga, sebelum bertandang ke selatan tanah air menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahad ini.
“Kita tak mahu lagi kecewa kali kedua di laman sendiri menentang Penang musim ini. Untuk mencapai matlamat, pemain perlu kekal fokus bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya menjangkakan perlawanan yang cukup sengit kerana Penang pasukan yang bagus. Mereka bukanlah lawan yang mudah untuk dihadapi.
“Untuk berada di kelompok teratas liga, kita tidak boleh lagi keciciran mata. Saya berharap kami mampu lakukan yang terbaik untuk menang malam esok,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pemain-pemain menjalani latihan dalaman semalam bersama pasukan KDA FC C bagi meningkatkan kecergasan pemain simpanan.
Aksi LS7 seterusnya Rabu ini di Stadium Darul Aman menentang Penang FC. pic.twitter.com/naq0cXWMKt
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 4, 2023
Pada 8 Mac lalu, Penang menunjukkan jalan keluar kepada Sang Kenari seawal pusingan pertama Piala FA apabila mencatat kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Darul Aman.
Nafuzi mengakui pasukan bimbingannya masih memiliki kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Dalam aspek serangan, kita dapat lihat bagaimana mereka agak buntu ketika menentang Sri Pahang sebelum ini.
“Di depan penyokong sendiri esok (malam ini), saya mahu perkara itu diperbaiki bagi memenuhi harapan peminat,” katanya.