LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp ‘sakit kepala’ menjelang pertembungan getir menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal hari ini selepas Mohamed Salah, Diogo Jota dan Joe Gomez terlepas sesi latihan.
Reds melayan kunjungan Gunners di Anfield dengan misi memburu kemenangan untuk kembali mencabar kelompok empat teratas liga.
Kekalahan 4-1 kepada Manchester City dan seri 0-0 dengan Chelsea dalam dua aksi terakhir menyebabkan anak-anak buah Jurgen Klopp jatuh ke kedudukan kelapan.
Bertambah malang buat Reds, Salah, Jota dan Gomez semuanya tidak menjalani latihan akhir bersama pasukan kelmarin.
Salah hanya dibawa masuk pada minit ke-65 dalam perlawanan menentang Chelsea, Rabu lalu, manakala Jota dan Gomez bermain selama 90 minit.
Begitupun, ketiga-tiga pemain itu kini menghadapi masalah kecergasan dan ketiadaan mereka dalam pertembungan dengan Arsenal akan memberi tamparan hebat buat Klopp.
Salah berada pada prestasi terbaik musim ini, menjaringkan 23 gol dan menyumbang 11 umpanan dalam 41 perlawanan merentas pertandingan.
Sementara itu, Jota telah menangani masalah kecederaan tetapi berjaya melakukan tujuh umpanan dalam 18 perlawanan.
Gomez bermain sebagai bek kanan sementara menentang Chelsea kerana prestasi buruk Trent Alexander-Arnold, namun dia juga mengalami isu kecederaan musim ini.
Kapten Belanda, Van Dijk yang terlepas pertemuan menentang Chelsea di Stamford Bridge kerana masalah kesihatan bagaimanapun dijangka bersedia diturunkan hari ini.
Van Dijk pulang pada masa yang genting apabila Gomez mungkin diketepikan.
Anfield adalah stadium yang menyaksikan Arsenal paling banyak mengalami kekalahan, termasuk tewas enam aksi terakhir Liga Perdana.
Begitupun Gunners kini berwajah baharu, dan mereka turun dengan mentaliti berbeza untuk mengejar gelaran apabila berdepan Liverpool. – AGENSI