IPOH: Penyokong Perak FC diminta bersabar dan tidak terlalu cepat menghukum pasukan ekoran pencapaian kurang memberangsangkan dalam kempen Liga Super setakat ini.
Menjelang pertembungan ‘menakutkan’ menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, peminat Bos Gaurus menyuarakan kebimbangan pasukan mereka mungkin diratah.
Jika JDT mampu membelasah Negeri Sembilan 7-0, diikuti Selangor dan Sabah FC 4-0, mereka tidak dapat membayangkan nasib yang bakal menimpa Perak.
Pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bagaimanapun menegaskan, masih Bos Gaurus di landasan membina pasukan dan mereka tetap menaruh keyakinan kepada jurulatih, Datuk Lim Teong Kim.
Menurutnya, mereka menetapkan tiga peringkat ketika mengambil alih Perak dan perkara itu sudah dimaklumlan dalam sesi pertemuan dengan kelab peminat.
“Peringkat pertama menyelesaikan masalah kewangan serta hutang g pasukan dalam tempoh setahun. Alhamdulillah, itu sudah diselesaikan lebih awal.
“Peringkat kedua pembentukan pasukan di mana proses sedang berjalan sekarang. Di peringkat ini kami mengetengahkan pemain muda berpotensi untuk membawa cabaran.
“Mereka ini akan menjadi kerangka pasukan bagi digemblingkan dengan tenaga berwibawa di peringkat ketiga. Semua proses akan memakan masa dua atau tiga tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas mengharungi enam perlawanan, Bos Gaurus mengutip lima mata untuk menghuni tangga ke-10.
Satu-satunya kemenangan Perak menewaskan Kuching City 2-0. Selebihnya mereka kalah tiga dan seri dua.
“Mereka baru mengharungi enam perlawanan dan mengutip lima mata untuk berada pada kedudukan pertengahan.
“Jika dapat mata penuh dalam dua atau tiga perlawanan, saya yakin Perak FC mampu memenuhi sasaran,” katanya.