PUTRAJAYA: Tujuan utama program Road to Gold (RTG) diwujudkan adalah memburu emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik, dan bukan sekadar membantu atlet meraih pingat tanpa sasaran warna, tegas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Katanya, fokus utama jawatankuasa RTG ketika ini adalah kepada atlet normal dan bukan paralimpik kerana mahu mereka merealisasikan impian memenangi emas pertama Malaysia di París 2024 dan Los Angeles 2028.
“Berbalik kepada asas sidang akhbar RTG sebelum ini, kita mahu dapatkan emas. Sebab itu saya jawab, paralimpik mereka sudah dapat emas, oleh sebab itu dalam jawatankuasa ini kita kurang fokus paralimpik kerana paralimpik sudah ada program sedia ada yang berjalan.
“Program mereka juga berkesan dan mereka dapat emas,” kata Hannah dalam sidang akhbar selepas melancarkan direktori fasiliti sukan Kementerian Belia dan Sukan di Menara KBS di sini semalam.
Hannah berkata demikian bagi mengulas mengenai sasaran sebenar RTG selepas sehingga kini jawatankuasa program berkenaan masih dalam proses mengumpul nama atlet untuk disenaraikan sehingga menimbulkan tanda tanya tujuan asal penubuhannya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, jawatankuasa RTG sebenarnya sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan berada di bawah program berkenaan bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun kata Hannah, pihaknya tidak mengumumkan nama atlet yang terpilih selepas mengambil kira pandangan tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Datuk Nicol David.
“Kita bincang dengan bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG, kita masukkan mereka untuk mendapatkan perspektif atlet.
Perbincangan awal dengan mereka, mereka minta jawatankuasa jangan senarai dan umumkan dulu.
“Ini adalah dari segi perspektif atlet kerana tempoh kelayakan (ke Sukan Olimpik) masih berjalan. Mereka mungkin ada sebab tertentu tetapi kita belum bincang dengan teliti kerana seperti yang saya katakan mesyuarat pertama akan diadakan minggu ini.
“Saya mahu menghormati perspektif atlet dan kalau ikutkan dari segi pentadbir, kita suka saja untuk umumkan tetapi perspektif atlet berlainan,” katanya yang turut memaklumkan proses perjumpaan dengan atlet berpotensi masih dijalankan dan belum berakhir.
Dalam pada itu katanya, jawatankuasa RTG akan mempunyai beberapa siri mesyuarat dan semakan berkala terhadap atlet tersenarai.
“Sebagai contoh, seseorang atlet itu berada di ranking ke-10 dunia hari ini dan dia layak menerima bentuk bantuan dalam RTG, namun pada tahun hadapan mungkin dia tidak lagi layak,” ujarnya.