PETALING JAYA: Taktik bertahan dengan meletakkan sebahagian besar pemain di benteng sendiri membolehkan PDRM FC mengelak musibah lebih besar apabila hanya kalah 3-0 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA kelmarin.
Sehari sebelum perlawanan, pengendali The Cops, Azzmi Ab. Aziz menyuarakan kebimbangan pasukannya akan diratah oleh Harimau Selatan seperti mana yang berlaku kepada beberapa pasukan Liga Super sebelum ini, terutama Negeri Sembilan yang dimalukan 7-0.
Sejak minit pertama permainan, PDRM bermain untuk bertahan dan biarpun JDT berjaya membolosi gawang mereka tiga kali menerusi dua jaringan Bergson da Silva serta Leandro Velazquez, namun Azzmi lega gol itu tidak bertambah di babak kedua.
“Saya sangat bersyukur kami tidak menjadi mangsa (belasahan) seterusnya, malah sasaran kita sebelum bertandang ke stadium keramat JDT adalah mengurangkan defisit gol.
“Itu sasaran realistik, sebab kita tengok pasukan yang hebat ada yang kena sampai lima dan enam gol di sini.
“Apapun, perancangan kita sedikit terjejas apabila JDT berjaya menjaringkan gol awal. Kita jangka boleh beri tentangan dan mengekang mereka pada babak kedua.
“Namun lain pula yang berlaku selepas kita bolos terlalu awal terutama seawal minit ketiga permainan,” katanya.
Jelasnya, tidak mudah untuk berdepan pasukan sehebat JDT yang mempunyai kesebelasan utama yang bukan calang-calang serta memiliki pemain simpanan berkualiti.