KUALA LUMPUR: Atlet negara yang akan bertanding dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja diingatkan agar mempersiapkan mental dan tidak mudah hilang fokus dalam menangani beberapa isu yang dijangka timbul sepanjang temasya 5-17 Mei itu.
Belumpun temasya dibuka Jumaat ini, kontinjen negara berdepan ujian pertama apabila Perkampungan Sukan tidak sempat disiapkan sepenuhnya, memaksa atlet dipindahkan ke hotel di Phnom Penh.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, masalah yang timbul tidak dapat dielakkan kerana ini kali pertama Kemboja menganjurkan temasya dwitahunan itu.
Disebabkan mereka tidak dapat menginap di Perkampungan Sukan, atlet beragama Islam juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan halal.
“Mereka memberikan kami sejumlah atlet yang boleh masuk (Perkampungan Sukan) dan bakinya kita akan buat perancangan untuk tinggal di luar.
“Ia baru dimaklumkan kepada kami beberapa hari lalu dan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini untuk atlet kita. Dianggarkan kira-kira 200 saja yang boleh masuk dalam satu-satu masa dan kita ada kira-kira 600 atlet.
“Jadi yang selebihnya di luar (perkampungan sukan),” kata Hannah selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN ONLINE