KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mengungguli derbi Pantai Timur selepas membelasah Kelantan FC 5-0 di laman sendiri untuk melonjak ke tangga keenam Liga Super.
Lebih manis lagi buat skuad Sang Penyu apabila tiga penyerangnya, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut serta pemain gantian, Hakimi Abdullah muncul pencetak gol, malam ini.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, TFC membuka tirai jaringan melalui Mintah yang melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-16.
TFC makin selesa memasuki minit ke-21 selepas rembatan leret Adisak berjaya menemui sasaran berpunca tandukan kurang cermat pemain lawan, Mohd. Arip Amiruddin.
Ketinggalan 0-2, Kelantan FC memiliki peluang terbaik pada minit ke-24 namun percubaan Nurshamil Abdul Ghani dari kawasan berbahaya sekadar melencong tinggi.
Bersambung babak kedua pintu gol TFC nyaris bolos mujur sepakan leret penyerang import Kelantan FC, Ismaheel Akinade hanya menggegarkan jaring tepi pada minit ke-64.
Lebih 5,000 penyokong Sang Penyu diceriakan gol ketiga menerusi Mamut yang menyudahkan sepakan penalti minit ke-66 selepas pemain Croatia itu dibentes Muhd. Afiq Azuan.
Mamut dan Hakimi menambah derita Kelantan FC apabila melengkapkan pesta gol hasil dua gol dalam masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 5-0 memihak TFC. – UTUSAN