Pemilik KDA FC sukar terima kekalahan besar kepada JDT

Pemilik KDA FC sukar terima kekalahan besar kepada JDT

MOHD Daud turut menyaksikan pasukannya dibelasah KDT 6-0 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Ismail semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan memalukan 6-0 yang dialami Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam turut meruntun hati pemilik kelab tersebut, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar.

Dalam perkongsiannya di Instagram, Mohd. Daud menyifatkan kekalahan itu perkara yang sukar diterima kerana prestasi teruk yang dipamerkan pemain berada di luar jangkaan ramai terutama peminat.

Beliau yang turut menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bharu, berkata, kekalahan teruk itu adalah disebabkan kesilapan individu, tiada semangat juang dan malah mungkin kerana adanya tekanan serta ketakutan terhadap penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun tegasnya, sebagai pemain profesional, kesilapan-kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku kerana banyak latihan di dalam dan luar negara yang telah diberi kelab kepada mereka sebelum musim bermula.

“Pemain yang baik adalah pemain yang keras mentalnya khususnya dalam suasana tekanan. Semasa tekananlah baru perwatakan dan profiling sebenar seorang pemain akan terbina Dan terserlah.

“Kalau hilang bola akan dikejar sepenuh jiwa dan bukan sekadar berlari untuk melakukan sesuatu tanpa jiwa dan fizikal yang kuat,” tulisnya.

Dalam proses menerima keputusan perlawanan yang menyedihkan itu, Mohd. Daud turut berkongsi mesej yang diterimanya oleh bekas pelajarnya di Indonesia, Fahmi Nasir yang turut meluahkan pendapat berhubung kekalahan tersebut.

Kata Fahmi, kekalahan itu membawa memorinya kembali ke empat tahun lalu apabila pasukan kegemarannya AC Milan tewas teruk, namun disebabkan kekalahan itulah, kelab gergasi Itali tersebut kembali mengorak langkah untuk merampas semula gelaran juara Serie A tahun lalu.

“Salam Tan Sri. Keputusan melawan JDT semalam terasa getir bagi KDA FC baik pemain, jurulatih dan penyokong di mana pun mereka berada.

“Pada masa sama saya percaya Tan Sri sebagai pemilik kelab merupakan insan yang paling merasakan kegetiran ini apatah lagi setelah bekerja keras Dan membuta pelbagai pelaburan.

“Sebagai peminat bola sepak, keputusan saya mengingatkan saya pada kekalahan 5-0 pasukan kesayangan saya AC Milan kepada Atalanta, pada Disember 2019 dalam Liga Serie A Itali.

“Kekalahan ini membawa AC Milan ke titik terendah akan tetapi dalam masa sama, itulah yang menjadi punca kejayaan AC Milan menjadi juara Serie A pada musim 2022 yang lalu.

“Saat menjadi juara tahun lalu, jurulatih Milan, Pioli menyatakan kekalahan yang memalukan itulah yang menyebabkan Milan mampu meraih juara sekarang ini. Pioli yakin bahawa kita akan banyak belajar daripada kekalahan dibandingkan sewaktu menang,” kata Fahmi.

Pada masa sama, bekas pelajarnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menyatakan harapan terhadap kemampuan Mohd. Daud untuk membina kekuatan pasukan kerana berpegang pada nasihatnya iaitu tidak penting berapa kali kita gagal atau jatuh, kerana yang lebih utama adalah untuk bangun semula daripada kegagalan itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya