DUBAI: Kepimpinan tertinggi badminton negara terus mendapat kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada badan induk antarabangsa apabila Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih menjadi sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden baru Badminton Asia, Kim Jong Soo dari Korea Selatan yang menggantikan penyandang sebelum ini, Anton Aditya Wibowo.
Norza, 56 tahun dilantik selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Badminton Asia yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.
Ia satu penghormatan buat BAM memandangkan Norza menjadi individu pertama dari Malaysia untuk mengisi kerusi tersebut dan dia akan melaksanakan tugas itu sehingga 2027.
Perlantikan Norza sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia juga adalah berdasarkan pengalaman yang dimiliki dalam urus tadbir persatuan badminton kebangsaan, selaras dengan perlembagaan badan induk tersebut, Fasal 13.2, yang mempunyai pengetahuan selain mencapai status tertentu supaya mampu memberikan sokongan dan impak positif kepada badan induk badminton Asia itu.
“Kami menyambut baik pelantikan itu dan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Norza bagi pihak Majlis BAM dan semua ahli gabungannya,” jelas Timbalan Presiden BAM, Datuk v.Subramaniam di atas perlantikan tersebut.
Selain Norza, Malaysia juga turut berbangga dengan perlantikan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang diangkat menjadi Setiausaha Agung Badminton Asia.
Sebelum ini Kenny pernah berkhidmat dengan badan induk itu selama empat tahun sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 2015 sebelum kembali semula ke BAM pada 2019.