KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui, berlaku sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji pemain tetapi bukanlah tertunggak dua bulan seperti didakwa ejen bola sepak dari Korea Selatan, Jeong Myeongho.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham juga menegaskan, pihak pengurusan tidak pernah mencampuri urusan pemilihan pemain, sebaliknya jurulatih mereka, Choi Moon Sik direhatkan kerana mempunyai masalah komunikasi, selain tidak menghantar laporan prestasi.
“Ya semua pemain dapat gaji setiap bulan. Cuma selama tiga tahun ni saya jadi (pemilik), faham sahajalah ada masa gaji masuk lambat seminggu, dua tapi kalau ada kata berbulan-bulan tak dapat gaji itu adalah fitnah!
“Alhamdulillah…semua pemain ada akses ke saya, mereka boleh menelefon saya pada bila-bila masa.
“Ramai sahaja yang pinjam duit saya bila mereka terdesak seperti kereta rosak atau nak pakai keperluan keluarga. Saya bantu dan ambik berat. Kelantan bukan kelab mewah tapi kita ambil tahu dan berat semua keperluan,” katanya.
Norizam mengakui, tidak mahu mengganggu pasukan dalam soal taktikal kerana mempunyai banyak komitmen lain, selain bola sepak.
Begitupun, jika mereka dilanda kekalahan berterusan, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai pemilik untuk mengambil tindakan.
“Tentang lineup pula, 100 peratus saya serahkan kepada HC (ketua jurulatih) tetapi ada masa saya akan minta untuk masukkan atau keluarkan pemain-pemain yg dirasakan perlu atas nasihat pasukan kejurulatihan.
“Kalau selaku owner (pemilik) cadangan saya yang 1 peratus tak boleh diterima, baik saya jangan jadi owner.
“Kalau dah kalah teruk takkan saya nak biarkan habis sehingga menjadi lebih teruk. Saya kena campur tangan sebab tidak ada pemilik yang mahu pasukannya kalah dan terus jadi ‘lauk’. Semua ada tertulis dan kontrak sebelum pegang jawatan ketua jurulatih,” ujarnya.
Kelmarin, Kelantan bertindak merehatkan Moon Sik hanya beberapa jam sebelum turun dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan mereka dibelasah 5-0 oleh Terengganu FC di tempat lawan.
Sejurus tamat perlawanan, ejen Moon Sik, Myeongho mendedahkan Kelantan FC hanya indah di luaran tetapi pengurusan mereka sangat amatur.
Dia mendakwa, pemain sudah dua bulan tidak menerima gaji, manakala Moon Sik tidak tahu mengenai kesebelasan utama pemain yang diturunkan menentang Terengganu kerana semua keputusan dibuat oleh pihak pengurusan.
Myeongho turut mendakwa dalam satu perlawanan di tempat lawan, mereka telah melakukan perjalanan selama 10 jam dan langsung tidak diberi makan.
Dia juga menegaskan, sedang menyediakan dokumen untuk mengheret Kelantan FC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).