LONDON: Lebih 80,000 tanda tangan dikutip dalam satu petisyen mendesak kejuaraan Formula Satu (F1) dunia yang dimenangi pemandu Belanda, Max Verstappen pada 2021 dilucutkan.
Sejak Grand Prix (GP) Abu Dhabi 2021, peminat Lewis Hamilton mendesak agar keputusan diubah dan kejuaraan dunia diserahkan kepada pemandu Britain itu.
Dalam insiden kontroversi tersebut, Hamilton, 38, hampir untuk memenangi gelaran dunia kelapan apabila mendahului perlumbaan akhir.
Bagaimanapun pemandu Williams, Nicholas Latifi terbabas menyebabkan kereta keselamatan dibawa masuk ke trek, dan Verstappen menggunakan kesempatan itu untuk memasuki pit bagi menukar tayar.
Tindakan tersebut jelas menyalahi peraturan F1 kerana pengarah perlumbaan, Michael Masi tidak membenarkan mana-mana pemandu memintas kenderaan keselamatan.
Hamilton yang berada di belakang kereta keselamatan kehilangan beberapa saat akibat tindakan Verstappen, dan kemenangan akhirnya dihadiahkan kepada lawannya.
Selepas diberi tekanan oleh bos Red Bull, Christian Horner, Masi membenarkan tindakan Verstappen, sekali gus membolehkan pelumba itu mengatasi Hamilton dengan tayar lebih laju.
Pasukan Mercedes membantah keputusan tersebut, namun bos mereka, Toto Wolff akhirnya menggugurkan bantahan kerana menganggap ia tidak akan membawa Hamilton ke mana-mana.
Begitupun peminat Hamilton tidak gembira, dan Patel Gordon Bennett memulakan petisyen di media sosial mendesak keputusan dibatalkan. – AGENSI