PUTRAJAYA: Tuan rumah Sukan SEA edisi ke 32, Kemboja sudah tidak sabar untuk menerima ribuan delegasi atlet dan pegawai dari seluruh rantau ini bagi memeriahkan lagi temasya sukan dwi tahunan itu yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei depan.
Justeru antara faktor penarik untuk edisi yang kali ini adalah kemasukan percuma untuk kesemua venue pertandingan membabitkan 37 jenis sukan.
Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Duta Khas Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC), Hor Sarun berkata, ini adalah salah satu inisiatif untuk merancakkan temasya ini memandang ini kali pertama mereka menjadi tuan rumah sejak saingan ini mula diadakan pada 1959.
“Kami ingin mengumumkan bahawa kami sudah bersedia untuk menganjurkan edisi ke-32 Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN. Kami terlepas untuk menganjurkan temasya sukan ini sejak 1959 iaitu selama 64 tahun.
“Kami juga ingin memaklumkan semua tiket untuk masuk ke venue pertandingan adalah percuma, begitu juga tiada hak eksklusif penyiaran. Jadi kami mengalu-alukan kedatangan semua negara termasuk Malaysia,” jelas Hor Sarun yang ditemui ketika majlis larian obor temasya Sukan SEA di Putrajaya semalam.
Larian obor tersebut bermula di perkarangan Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membabitkan 250 orang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Hamidin Mohd. Amin; Presiden Persatuan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin; Ketua Kontinjen dan Timbalan, Datuk Mohd. Nasir Ali, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee, manakala Kemboja diwakili Sarun dan wakil kedutaan Kemboja, Ouk Chandara.
Malaysia menjadi negara kelima untuk larian obor itu, sebelum ia akan kembali semula ke Phnom Penh pada 27 April depan selepas mengelilingi seluruh negara Asia Tenggara.
Dalam masa yang sama, Hor Sarun juga memberikan jaminan bahawa venue-venue pertandingan membabitkan Sukan SEA Kemboja sudah siap sepenuhnya dan berada dalam keadaan terbaik.
Difahamkan kerajaan Kemboja telah pun membelanjakan sekitar 200 juta dollar Amerika Syarikat (RM 884 juta) untuk menjayakan pengajuran Sukan SEA kali ini.
“Seperti saya katakan tadi, segala-galanya sudah tersedia dan kami mempunyai fasiliti mencukupi termasuk hotel dan pengangkutan.
“Kami juga mempunyai perkampungan sukan yang mampu menempatkan kira-kira 10,000 atlet berhampiran stadium utama. Hotel untuk penginapan kesemua delegasi negara Asia Tenggara juga sudah ditempah,” katanya. – UTUSAN ONLINE