KOTA BHARU : Biarpun gagal melunaskan misi mencari kemenangan sulung, Kelantan United FC akur dan tetap berpuas hati mengutip satu mata selepas terikat seri 1-1 dengan Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Sarawak semalam.
Muhammad Asraff Alifuddin Yasin muncul sebagai wira skuad Sang Kijang Hijau menerusi jaringan lewat pada masa kecederaan (minit ke-94) selepas kem pelawat ketinggalan satu gol hasil sepakan penalti Sirojiddin Kuziyev pada minit ke-51.
Penolong Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor berkata, pasukannya datang dengan hasrat mengutip tiga mata penuh dan mencipta banyak peluang untuk mencetak jaringan terutama pada babak pertama namun gagal merobek gawang Kuching City.
Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan diraih dan berjanji akan memperbaiki beberapa kesilapan kecil yang telah meragut peluang Sang Kijang Hijau untuk mencipta kemenangan di Bumi Kenyalang.
“Selepas ini kita akan bertemu salah satu pasukan elit dalam Liga Super, iaitu Sri Pahang FC dan kita mahu membawa moral yang baik ke Kuantan. Jadi apabila pulang ke Kota Bharu, kita akan baiki kelemahan yang ada.
“Kita ada empat hari sebelum bertolak ke Pahang untuk memperbaiki beberapa perkara utama dalam taktikal pasukan. Beberapa kesilapan kecil yang dikesan pada perlawanan ini serta aturan gerak dari bawah hingga ke.atas,” katanya.
Selepas melalui tujuh perlawanan, Kelantan United belum berjaya memperoleh kemenangan dan berada di tangga tercorot Liga Super 2023 dengan hanya mengumpul dua mata hasil lima kekalahan dan dua kali seri.-UTUSAN ONLINE