LONDON: Persaingan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin sengit apabila pendahulu, Arsenal melepaskan peluang untuk mengutip tiga mata apabila dipaksa seri dengan West Ham United dalam aksi yang berlangsung di Stadium London sebentar tadi.
Arsenal yang turun untuk melebarkan jurang mata dengan pencabar, Manchester City bermula dengan baik apabila Gabriel Jesus meletakkan pelawat di hadapan seawal minit ke tujuh apabila menyempurnakan hantaran Ben White.
Selang tiga minit kemudian, Arsenal semakin selesa apabila rembatan voli Martin Odegaard hasil hantaran silang Gabriel Martinelli berjaya menewaskan penjaga gol West Ham, Lukas Fabianski.
Bagaimanapun, Arsenal seakan hilang arah apabila membiarkan West Ham melancarkan asakan bertubi-tubi ke kubu mereka dan strategi itu berhasil apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Lucas Paqueta dijatuhkan.
Said Benrahma tidak menghadapi masalah untuk merapatkan jurang pada minit ke 33 bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Aksi di babak kedua menyaksikan Arsenal kembali memperkemaskan jentera serangan mereka, dan giliran mereka pula dihadiahkan sepakan penalti hanya selepas empat minit perlawanan kembali bersambung apabila bola terkena tangan Michail Antonio.
Bagaimanapun rembatan Bukayo Saka tersasar jauh sekaligus melegakan barisan pemain West Ham.
Kesempatan itu digunakan Jarrod Bowen yang berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk melakukan satu rembatan, sekaligus menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke 54.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan Arsenal kini mengumpul 74 mata, dihambat Manchester City di tangga kedua dengan 70 mata, dengan penyandang juara itu masih mempunyai kelebih kurang satu perlawanan.