ALOR SETAR: Sudahlah bakal berdepan pasukan terkuat Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa menghadap Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim esok tanpa kekuatan penuh apabila hilang dua tonggak pertahanan, Ariff Farhan Md. Isa serta Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman.
Ariff yang yang sentiasa mengisi posisi pertahanan kiri KDA setakat ini sudah mengutip tiga kad kuning, manakala Wan Amirul Afiq pula dilayangkan kad merah dalam pertemuan menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Rabu lalu.
Namun Ketua Jurulatih KDA, Nafuzi Zain tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar yang perlu diratapi menjelang pertemuan penuh mencabar di selatan tanah air.
“Bagi saya tak ada masalah kerana kita masih memiliki pemain-pemain lain yang mampu menampung ketiadaan mereka. Sampai bila kita nak bergantung kepada dua pemain ini saja dan ini mungkin peluang rakan-rakan mereka membuktikan kemampuan masing-masing.
“Sebagai seorang pemain, siapa yang tak mahu bertemu pasukan hebat seperti JDT. Bertemu pasukan sekuat JDT tentunya menambah semangat pemain.
“Maka saya yakin walau siapa pun diturunkan akan mampu menggalas tugas itu. Ini boleh jadi peluang yang amat dinanti-nantikan oleh pemain-pemain lain bagi menampilkan kebolehan serta kemampuan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Iftar KDA FC di Fantasia Aqua Park, semalam.
Sementara itu, Nafuzi berkata, Sang Kenari bakal hadir ke SSI dengan matlamat untuk meraih keputusan positif.
“Tiada siapa boleh nafikan kita akan bertemu pasukan yang sangat bagus. Sebagai ‘underdog’ kami akan beri saingan terbaik dan mengharapkan keputusan positif.
“Setakat ini saya sudah ada bayangan mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan. Saya pun dah banyak kali bertemu JDT, jadi saya ada ‘game plan’ sendiri untuk berhadapan mereka,” katanya.
Tambahnya dalam apa jua keadaan, beliau lebih mementingkan keputusan pada akhir perlawanan daripada lain-lain perkara.
“Seperti saya katakan, kami mahu dapatkan keputusan positif dan ingin memberikan yang terbaik. Kami akan cuba bermain dengan cara sendiri serta menampilkan aksi yang menarik untuk ditonton.
“Keputusan diraih JDT dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini diharap memotivasikan pemain kami untuk lebih bersedia selain sedar betapa mereka perlu fokus pada setiap saat di sepanjang 90 minit permainan,” katanya.