PETALING JAYA: Pengorbanan Mohd. Juwaidi Mazuki menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan berbaloi apabila dia memenangi dua pingat gangsa dalam Piala Dunia Peringkat 1 di Antalya, Turkiye semalam.
Jaguh memanah compound berusia 32 tahun itu meraih gangsa dalam individu lelaki dan beregu campuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
Gandingan Juwaidi-Fatin Nurfatehah membawa pulang gangsa dengan memenangi persaingan sengit menentang Marco Bruno-Elisa Roner 19-18 dari Itali selepas kedua-dua mereka seri 157 mata.
Terdahulu, wakil Malaysia itu tewas tipis kepada Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam 155-157 dalam separuh akhir sebelum pilihan kedua dari India itu menumpaskan beregu Taiwan, Chen Chieh Lun-Chen Yi Hsuan 159-154 pada aksi final.
Juwadi yang menduduki ranking ke-161 dunia, kemudian menambah kilauan pingat dengan mengecewakan pemanah No. 1 dunia dari Belanda, Mike Schloesser 148-146 dalam penentuan gangsa.
Juwaidi gagal mara ke final selepas tewas 145-147 di tangan Jozef Bosansky dari Slovakia di separuh akhir.
Rabu lalu, Juwaidi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 714 mata untuk memadamkan rekod 709 mata sebelum ini yang dicipta di Kejohanan Memanah Asia 2019. – UTUSAN ONLINE