PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pening kepala apabila terpaksa mencari pengganti untuk disandarkan dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Justin Hoh dilaporkan mengalami kecederaan tendon Achilles.
Difahamkan Justin, 19 tahun ditimpa kecederaan tersebut ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Isnin dan bakal menjalani pembedahan esok.
Pemain yang berada di ranking ke 54 dunia itu pernah membantu Malaysia meraih pingat perak acara berpasukan lelaki di Sukan SEA Vietnam 2021 diletakkan sebagai sandaran beraksi dalam acara individu bersama-sama dengan Leong Jun Hao.
Ketiadaannya bakal merencatkan perancangan badan induk yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya ke final.
“Semalam (kelmarin) ketika sesi latihan, Justin mengalami kecederaan di bahagian tendon Achilles. Kita sedang melihat siapa calon yang sesuai untuk menggantikan tempatnya dalam skuad Sukan SEA,” jelas Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr Tim Jones.
Ketiadaannya Justin dijangka akan diisi sama ada Ong Ken Yon ataupun Lee Shun Yang yang sebelum ini sudah pun berada dalam senarai nama panjang yang dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Tahun lalu, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak serta satu pingat gangsa dari sukan dwitahunan itu dengan emas tersebut disumbangkan menerusi acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen.