PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sensasi di peringkat antarabangsa apabila Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dijemput untuk menjadi wakil Malaysia ke Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik).
Untuk rekod SSI juga menjadi stadium pertama di negara ini yang menerima jemputan selepas menarik perhatian pemerhati dengan pengurusan profesional, pemeliharaan dan reputasi stadium terbabit.
Persatuan Pengurusan Venue (VMA) adalah badan untuk venue industri profesional di Australia, New Zealand dan Asia dan mempunyai lebih 900 keahlian, mewakili lebih 300 venue utama dari pelbagai sektor termasuk venue sukan dan bukan sukan.
“Stadium Sultan Ibrahim dijemput untuk menjadi sebahagian daripada Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia.
“Jemputan kepada Stadium Sultan Ibrahim ini juga adalah indikator kepada pengiktirafan berterusan terhadap stadium ini sejak dibuka pada Februari 2020.
“Stadium ini juga pernah dinamakan sebagai ‘World Stadium of the Year’ pada tahun 2020,” kata JDT dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, hari ini.
Stadium Sultan Ibrahim turut pernah digunakan skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi aksi persahabatan antarabangsa dan menjadi venue bola sepak terbaik di Malaysia ketika ini.-UTUSAN ONLINE