JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin cemerlang mempamerkan aura sang juara dan boleh dikatakan ‘kaki belasah’ selepas berpesta gol ketika menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 pada aksi Liga Super, malam kelmarin.
Sebelum ini, Harimau Selatan turut membelasah pasukan lain yang disebut-sebut bakal mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT) memburu kejuaraan ke-10 seperti Sabah dan Selangor dengan jaringan 4-0.
Biarpun melihat JDT seakan-akan tidak tercabar dalam saingan Liga Super, pengendalinya, Esteban Solari beranggapan kejuaraan liga masih jauh daripada jangkauan pasukannya.
Ketua jurulatih dari Argentina itu berkata, walaupun berjaya mendapatkan kemenangan selesa, ia tidak bermakna mereka berdepan laluan mudah untuk mengecapinya.
“Ini baru lapan perlawanan, perjalanan kami masih jauh, terlalu awal untuk berbicara tentang mempertahankan kejuaraan Liga Super dan apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak.
“JDT hormati setiap pasukan yang kita hadapi dan akan berikan tentangan sengit tanpa mengira siapa pasukan lawan. Kita akan bermain sebagai pasukan yang lebih baik.
“Oleh itu, JDT akan berusaha untuk meneruskan rentak kemenangan ini dan memberi komitmen penuh pada perlawanan akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan mengalahkan KDA FC, Solari berkata, ia merupakan satu perlawanan yang sukar setelah pasukan hanya mampu menjaringkan satu gol pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, katanya, pemain meningkatkan rentak permainan memberi tekanan kepada pihak lawan hingga memaksa mereka melakukan kesilapan dan berjaya mencipta jaringan.
Dalam pada itu, Solari turut gembira dengan aksi beberapa pemain muda yang diturunkan pada perlawanan tersebut.
“JDT adalah sebuah kelab besar dan kami merancang untuk mengetengahkan lebih ramai pemain muda berbakat besar pada masa depan, mereka ini akan memberi nilai tambah buat pasukan,” jelasnya.-UTUSAN