PETALING JAYA: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bermandi peluh di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini sebelum berjaya menumpaskan PDRM FC 1-0 sebentar tadi.
Corak bertahan yang ditampilkan skuad kendalian Azzmi Ab. Aziz ternyata menyukarkan jentera hadapan Harimau Selatan untuk memecahkan kebuntuan dalam perlawanan tersebut.
Antara individu penting yang menjadi penghalang ‘kenduri’ gol skuad kendalian Esteban Scolari ialah penjaga gol muda PDRM FC, Hakeem Hamidun yang banyak menyelamat kubu The Cops.
Keputusan 1-0 itu juga menyaksikan PDRM FC menjadi pasukan yang paling sedikit bolos ketika berdepan JDT pada musim ini manakala gol paling banyak pula ketika menang 7-0 ke atas Negeri Sembilan.
Dalam perlawanan tersebut, JDT turun dengan reputasi yang digeruni dan menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dengan melancarkan serangan bahaya namun gagal menemui gol.
Peluang terbaik Harimau Selatan hadir apabila dihadiahkan sepakan penalti sebelum memasuki bilik persalinan.
Bagaimanapun, tendangan yang diambil Bergson Da Silva diselamatkan penjaga gawang tuan rumah yang melakukan debut pertama peringkat senior.
Gol yang dicari-cari JDT akhirnya menjelma selepas satu jam perlawanan berlangsung apabila Fernando Forestieri memanfaatkan peluang terhidang selepas keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti.
Skuad PDRM FC yang turun dengan formasi 5-4-1 terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah pada minit ke-74 selepas mengutip dua kad kuning dalam masa lima minit.
Bagaimanapun, kesempatan itu gagal digunakan sebaik mungkin oleh Harimau Selatan apabila tiada sebarang tambahan gol berjaya direkodkan.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan JDT di puncak Liga Super dengan 27 mata dan mengekalkan rekod bersih sembilan perlawanan tanpa tewas,
Dalam aksi Piala FA minggu lalu, JDT berjaya menumpaskan PDRM FC 3-0 di Stadium Sultan Ismail (SSI).-UTUSAN ONLINE