ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjinakkan The Rhinos 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut, sekali gus terus gah di persada liga dengan mengutip 18 mata.
Dua pemain yang dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya baru-baru ini akibat kecederaan, iaitu Arif Aiman Hanapi (hamstring) dan Endrick Dos Santos (buku lali) disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Sabah FC.
Magis yang dipamerkan JDT dalam proses rawatan kedua-dua kepada pemain itu memberi impak positif apabila Arif Aiman menjaringkan gol pertama bagi pasukan pada perlawanan malam ini.
Skuad Harimau Selatan hampir mencipta gol seawal minit kedua menerusi larian solo Oscar Arribas ke dalam kotak penalti, namun sentuhan penyudahnya sedikit tersasar.

Pada minit ke-10, giliran Fernando Forestieri mencuba nasib, namun rembatan yang dilepaskan dari sudut sukar hanya menerjah sisi gawang lawan.
Benteng pertahanan The Rhinos yang diketuai Gabriel Peres dan Dominic Tan dilihat ampuh menangkis serangan bertali arus skuad bimbingan Esteban Solari dari pelbagai sudut.
Namun, benteng ampuh Sabah itu runtuh pada minit ke-20 setelah Forestieri yang melepasi perangkap ‘ofsaid’ membuat umpanan kepada Arif Aiman yang menyempurnakan peluang itu menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Gol tersebut mengundang kontroversi apabila Irfan Zakaria terjatuh selepas berlaku perlanggaran dengan Arif Aiman ketika pemain sayap itu cuba menyambut hantaran Forestieri, menyebabkan perlawanan menjadi lebih agresif.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee cuba menggunakan Jailton Da Silva dan Saddil Ramdani bagi melakukan serangan dari bahagian sayap namun tidak berupaya menjana peluang untuk Darren Lok.
Peluang terbaik The Rhinos hadir pada minit ke-37 menerusi sepakan penjuru Jailton, namun hantaran itu gagal disudahkan Peres setelah tandukannya jauh tersasar.
Pada minit ke-37, Juan Muniz memberikan kegembiraan bagi kem Harimau Selatan apabila rembatan dari jarak 30 meter berjaya menewaskan Khairul Fahmi bagi meletakkan JDT pada kedudukan selesa.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tidak mengendurkan serangan, sebaliknya silih ganti melancarkan serangan ke kubu lawan.
Enggan tunduk begitu mudah di tangan JDT, Kim Swee membawa masuk Baddrol Bakhtiar, Stuart Wilkin dan S. Kumaahran bagi menyuntik tonik bagi jentera serangannya.
Walaupun selesa di hadapan, Harimau Selatan terus dahagakan gol, cuba menambah jaringan menerusi sepakan voli yang dilakukan Forestieri namun percubaan itu berjaya dinafikan penjaga gol Sabah.
Gol yang diburu JDT hadir pada minit ke-81 menerusi jaringan pemain gantian, Syahmi Safari yang menyempurnakan umpanan Arif Aiman, sekali gus melumpuhkan semangat juang The Rhinos yang cuba bangkit pada perlawanan itu.
Pada babak akhir perlawanan, Amri Yahyah melakukan percubaan dari jarak jauh setelah melihat penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak berada di posisinya namun penjaga gawang kebangsaan itu tangkas menafikan percubaan tersebut
Sebelum perlawanan berakhir, Forestieri berjaya memahatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-88, sekali gus menambah derita bagi pasukan pelawat. – UTUSAN