PETALING JAYA: Langkah hebat Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada Kejohanan Badminton Asia gagal ditutup dengan kejuaraan selepas tumpas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam aksi sengit di Dubai sebentar tadi
Beregu lelaki profesional negara itu tumpas 21-16, 17-21, 19-21 kepada juara Terbuka Switzerland yang juga pasangan No. 6 dunia dalam pertarungan satu jam, 7 minit.
Yew Sin-Ee Yi sebelum ini mencipta sensasi dalam laluan ke final apabila menyingkirkan juara dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun pada separuh akhir dan beregu No. 1 dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia di suku akhir.
Biarpun tidak pulang sebagai juara, aksi cemerlang yang ditampilkan pasangan No. 8 dunia itu membuktikan pemilihan mereka dalam program Road to Gold (RTG) adalah tepat.
Bersama juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi kini menjadi sandaran terbaik Malaysia untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Kali terakhir Malaysia menjadi juara beregu lelaki Asia adalah pada edisi 2007 di Johor Bahru menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menewaskan rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12. – UTUSAN ONLINE